Wednesday, April 14, 2010

Keuntungan Lumayan Hasil Puyuh

BANDAR JENGKA: Kegiatan penternakan burung puyuh di tanah rancangan Felda Jengka 15, di sini, semakin berkembang berikutan permintaan tinggi penggemar daging haiwan berkenaan serta pengusaha restoran di sekitarnya.

Seorang peneroka, Samad Puhalus, 56, yang sudah menternak burung puyuh sejak lebih lapan tahun lalu, mengakui kegiatan itu memberi pendapatan lumayan kepada keluarganya.

Katanya, sebelum ini kegiatan penternakan puyuh dijalankan secara sambilan sekadar memenuhi keperluan keluarga kerana bimbang sukar mendapatkan pasaran.

“Selepas lebih setahun mengusahakannya, permintaan penggemar semakin meningkat sehingga mendorong saya mengkomersialkan kegiatan penternakan itu untuk mendapatkan pendapatan tambahan.

“Setakat ini, pendapatan hasil jualan puyuh agak lumayan setanding dengan perniagaan ternakan lain. Tambahan pula, pihak pengurusan Felda memberikan dorongan supaya membesarkan kegiatan penternakan.

“Memandangkan permintaan yang semakin meningkat, jumlah ternakan puyuh ditambah sehingga 10,000 ekor bertujuan memenuhi permintaan pengguna“Saya juga menjual telur dan anak puyuh kepada penternak sebagai usaha memperluaskan kegiatan perniagaan haiwan berkenaan supaya mampu menambah pendapatan keluarga,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Samad berkata, keluarganya turut mencipta sebuah mesin pengeram yang boleh menetaskan 400 anak puyuh dalam tempoh empat hari.

Beliau berkata, burung puyuh yang sudah disembelih dan dibersihkan dijual antara RM13 hingga RM15 sekilogram, telurnya pula 10 sen sebiji, manakala anak yang baru menetas antara 60 sen hingga RM2.50 seekor.

Mengenai modal kewangan ketika mula menceburi bidang ternakan itu, Samad berkata setakat ini keluarganya membuat pinjaman sebanyak RM9,000 daripada Felda dan ia dibayar semula dalam tempoh enam tahun.

No comments:

Post a Comment